Masjid Selat Melaka
MELAKA bukan sahaja merupakan sebuah negeri yang kaya dengan peninggalan sejarah tetapi ia juga merupakan sebuah pusat penyebaran dan perkembangan Islam yang terulung di Nusantara.Sehubungan itu, masjid-masjid telah didirikan untuk dijadikan tempat belajar ilmu agama seperti fikah, usuluddin, tasauf, tafsir dan mengaji al-Quran.Masjid-masjid yang kekal hari ini menjadi monumen dan warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.Tidak hanya setakat itu, kerajaan negeri Melaka turut membina masjid-masjid baru dalam usaha meningkatkan lagi syiar Islam di samping memenuhi keperluan berikutan pertambahan penduduk di negeri itu sendiri.
Terbaru dan terkini, Masjid Selat, Melaka, yang dibina di Pulau Melaka dan terletak di tepi Selat Melaka, selat yang terpanjang dan tersibuk di dunia.Menelan belanja hampir RM11 juta, masjid tersebut yang dibina di atas tanah yang berkeluasan 1.8 hektar mempunyai ciri-ciri seni bina Melayu dan Timur Tengah.Daripada jumlag RM11 juta, kerajaan Persekutuan memberi peruntukan sebanyak RM7 juta. Masjid tersebut mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.Ia mula dibina pada Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika itu pada 24 November 2006.
Menurut Pemandu Pelancong, Shaukani Abbas, masjid tersebut penting kerana ia dapat meniup semangat baru kepada seluruh masyarakat Islam di negeri ini.Ini kerana, katanya, masjid berkenaan terletak di tengah-tengah kawasan perniagaan eksklusif selain perumahan yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama.Beliau memberitahu, selain untuk tujuan solat, rakyat dan para pelancong juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar masjid."Pembinaan masjid tersebut di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Bandar Hilir adalah mercu tanda baru di negeri ini serta menunjukkan usaha kerajaan negeri yang sentiasa meningkatkan syiar Islam.
"Masjid yang dibina di atas permukaan laut berdekatan pulau buatan manusia ini akan menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan pelancongan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.Jika diteliti, seni bina dan kedudukan Masjid Selat, Melaka, amat menarik. Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, masjid berkenaan begitu mirip sebuah masjid terapung yang terdapat di bandar Jeddah, Arab Saudi.
Untuk pengetahuan bersama, masjid tersebut merupakan ilham daripada Ali Rustam yang pernah menyertai lawatan ke Jeddah satu ketika dahulu.Jika kita meninjau masjid ini dengan lebih dekat lagi, pastinya seribu ketenangan jiwa tercipta bagi melupakan sebentar segala cengkaman masalah dunia.Masjid yang didominasi rona putih lambang kesucian, benar-benar jelmaan keindahan dan kehalusan seni bina bagi menarik hamba-hamba-Nya supaya lebih dekat dengan Allah SWT.
Bersujud di dalamnya sambil dihembus angin selat yang bertiup pastinya menjadikan solat tarawih sempena bulan Ramadan ini misalnya adalah terbaik pernah kita laksanakan.Pada masjid ini terdapat pelbagai keunikan yang sukar untuk diungkap melalui kata-kata. Namun yang paling ketara ialah binaan menaranya yang setinggi 30 meter. Menara yang menjulang tinggi di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat itu sebenarnya tidak sekadar menara untuk melaungkan azan ke seluruh alam. Sebaliknya, dengan kedudukan fizikal terletak di pinggiran selat itu maka menara itu mempunyai dwi fungsi sebagai Rumah Api.
Rumah Api yang mengeluarkan cahaya amaran kepada perahu-perahu sehinggalah kapal-kapal yang melalui Selat Melaka itu. Memberikan juga panduan kepada pesawat yang terbang di ruang udara.Kubah Besar Masjid Selat yang mampu dilihat jelas dari jarak jauh dengan warna biru keemasan yang bergabung dengan birunya air laut, mencetuskan satu lagi fenomena perpaduan yang menjadi tunggak Melaka Bersejarah.
Ini kerana ada rekod sejarah yang mengatakan walaupun bangsa-bangsanya terdiri dari Melayu, Cina yang digelar Baba dan Nyonya sehinggalah India dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Chettiar, itulah uniknya Melaka, mereka kesemuanya bersatu atas nama Islam.Siri lawatan ke Melaka kini tidak akan lengkap jika kita tidak mengunjungi Masjid Selat.
Walaupun mungkin akan lebih dipengaruhi emosi dan nostalgia sejarah dengan keunikan-keunikan Masjid-masjid lain seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan sebagainya.
Rekaan masjid ini mendaulatkan konsep seni bina Melayu. Ini apabila kita dapati elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian menjadi konsep rekaan.Empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah yang besar. Iaitu kubah besar yang indah dan unik menaungi Dewan Besar Solat yang berukuran 24 diameter.
Masjid Selat begitu lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi memenuhi segala fungsi dan aktiviti yang mengimarahkan masjid.Selain Dewan Solat, terdapat Dewan Serba Guna, Perpustakaan, Kelas-kelas Pengajian dan sebagainya.Namun pandangan mata begitu tertumpu juga kepada keindahan seni buatan mimbar masjid ini. Berasaskan kepada kayu jati, mimbar tersebut diukir dengan seni ukiran yang sangat halus bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bunga.Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi ruang dan dinding masjid.Seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih namun dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza bagi menghasilkan sistem bunyi akustik baik dan mengurangkan gema.Untuk kenal lebih dekat, marilah ke Masjid Selat bagi memperhebatkan lagi ibadat dan menyuntik lagi semangat Ramadan tahun ini!
Sumber : Utusan Malaysia ARKIB : 24/08/2009
Masjid Selat
0 comments:
Post a Comment